Monday, 1 May 2017

3. MENJARING BOLA


Bola baling ialah sukan yang berkisar tentang menjaringkan gol. Sudah tentu pemain dan penonton akan berasa puas hati dan gembira apabila gol berjaya dihasilkan, terutamanya jika hasil gol itu dianggap menarik. Dianggarkan purata jumlah gol yang mampu dijaringkan dalam sesuatu permainan bola baling ialah 40 gol. Maka, bola baling merupakan permainan yang banyak menghasilkan gol. 

Walaupun kemahiran menjaringkan gol dijangkakan dapat dilakukan oleh semua pemain kecuali penjaga gol, namun kelebihan dari segi keupayaan perlu ada pada pemain barisan belakang yang sememangnya ditugaskan menjaringkan gol. Manakala pemain-pemain lain lebih bertanggungjawab dalam mengatur dan melaksanakan taktik dan strategi permainan agar bola dapat disampaikan kepada barisan belakang yang akan menjaringkan bola.
Kekuatan, kelajuan ketepatan sasaran dan masa adalah antara kualiti utama yang perlu ada pada pemain bola baling, terutamanya mereka yang ditugaskan mendapatkan gol. 

PRINSIP – PRINSIP UTAMA
Umumnya, terdapat beberapa prinsip utama dalam kemahiran menjaringkan gol dalam permainan bola baling. Antaranya ialah:

1. Pemain mempunyai keyakinan diri pada setiap pemain.
2. Pemain dapat mengawal imbangan dan pergerakan dalam tempoh permainan.
3. Pemain memberikan penumpuan sepenuhnya pada gerakan yang hendak dilaksanakan.
4. Pemain mengikut lajak.
5. Pemain bijak mengarah dan menepati sasaran tertentu.
6. Pemain cekap menilai ruang kosong dan kedudukan penjaga gol.

JENIS JARINGAN



a) Jaringan dari Atas Kepala Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa dan mudah dilakukan, serta mudah pula untuk mendapatkan gol. Jaringan ini juga paling disukai oleh pemain-pemain baru. Jaringan ini boleh dilakukan oleh pemain dalam kedudukan statik dan kedudukan bergerak atau berlari.

Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:
1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.
3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke belakang kepala pada aras bahu.
4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.

b) Jaringan dari Bawah Lengan
Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun, ia boleh dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang berbadan tinggi. Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan perhatian pada kawalan atau pertahanan rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan. 

Teknik melakukan jaringan dari bawah lengan ini adalah seperti berikut:
1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras bahu.
2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya melangkah ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan kuat ke sasaran.
3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.

c) Jaringan Lompat


Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas kepala, tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan lompat ialah pemain perlu bergerak tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Walaupun ia agak sukar dilakukan, terutamanya bagi pemain-pemain baru, namun jika sudah mahir, ia merupakan jaringan yang berbahaya. Hal ini terjadi kerana dalam kebanyakan perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini. Jaringan ini sering dilakukan selepas serangan pantas. Biasanya, jaringan daripada lompatan dibuat apabila posisi bola berada di puncak lompatan.

Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini pemain memegang bola dengan kedua-dua belah tangan.
2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambil membuat jaringan dengan menggunakan sebelah tangan seperti cara jaringan dari atas kepala. Arah yang dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak lawan.
3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.
4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.

Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat lompatan sendiri boleh mengelirukan penjaga gol.
2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas secara memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam gol di celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka mereka sudah tentu mempunyai kelebihan psikologi dan peluang.

d) Jaringan pada Aras Paha
Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia memerlukan latihan yang lama. Pemain yang menerima bola, memegangnya pada kedudukan aras paha, dan dengan serta-merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan ini amat pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar ditentukan oleh penjaga gol atau pemain pertahanan. Cara jaringannya ialah pemain berlari pantas ke kawasan gold an membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah lengan lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan yang ditujukan ke sebarang bahagian di bawah palang pintu gol pihak lawan.

e) Jaringan Sisi
Selain daripada membuat jaringan tinggi atau rendah untuk menewaskan pertahanan lawan, penjaring juga boleh membuat jaringan daripada sisi pemain yang mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan pada arah kiri pemain lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat kaki kanannya, menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada kaki kiri. Apabila mendarat di sisi, pemain berkenaan memusingkan sedikit badan dan bahunya, membawa bola lebih rendah lalu membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini lebih berkesan jika dilakukan secara mengejut.

f) Jaringan Junam dan Jaringan Jatuh
Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh pemain-pemain baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya pada aksi dan gerakannya. Ia selalunya dilakukan dalam kawasan balingan percuma. Jaringan dari arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain membengkokkan badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.

Teknik melakukan jaringan junam adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di luar garisan kawasan gol.
2. Dengan menggunakan kaki kiri, pemain melonjakkan badannya ke udara menuju ke kawasan gol.
3. Semasa melonjak, pemain membuat jaringan ke sasaran, iaitu jaringan dibuat semasa berada di udara sebelum mendarat.
4. Pemain mendarat dengan mempertahankan badan menggunakan tangan atau menggulingkan tangan. 

g) Jaringan Penalti 


Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad mengikut undang-undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh terkena atau melepasi garisan balingan. Jaringan hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil meniupkan wisel.

Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan kemungkinan pergerakan yang bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya mengikut lajak.

h) Jaringan Lambung
Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga gol yang telah bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3 situasi berlakunya keadaan begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan tujuan mengecilkan sudut pemain lawan daripada lontaran penalti.
2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi pemain lawan yang memperoleh bola untuk membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut terhadap pemain lawan ketika terjadi serangan pantas.

i) Jaringan Voli
 Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:
1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola hantaran.
2. Semasa melompat, pemain menangkap bola dengan kedua-dua belah tangan.
3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat
.

No comments:

Post a Comment

Peralatan permainan bola tampar Bola tampar biasanya dimainkan di gelanggang tertutup seperti gimnasium. Walaubagaimanapun bola tampar d...