Monday, 1 May 2017

2. MENANGKAP BOLA

Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan bola, memegangnya dengan baik dan terus mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan yang berkedudukan relaks. Pelbagai cara tangkapan boleh dilakukan dengan paling penting ialah setiap tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat tanpa mengira kelajuan atau jenis hantaran yang dibuat oleh rakan. Bagaimanapun, tangkapan yang tepat dan betul bermula daripada lontaran atau hantaran yang tepat atau sempurna.
Untuk menangkap bola dengan tepat dalam apa jua keadaan dan situasi permainan, seorang pemain mestilah memberikan perhatian pada faktor-faktor berikut:

1. Penglihatan pemain hendaklah fokus pada bola dan penghantarnya.

2. Kedua-dua belah tangan direnggangkan dan dihulurkan ke arah bola.

3. Tangan dan jari hendaklah dalam kedudukan terbuka semasa membuat tangkapan. Ibu jari berfungsi sebagai penahan bola.

4. Setelah berjaya ditangkap, bola hendaklah dirapatkan ke dada dalam kedudukan yang selamat.

5. Kedudukan sebelah kaki hendaklah ke depan dan harus berjarak seluas bahu dengan kaki belakang.

6. Sepanjang pergerakan untuk menangkap bola, pemain hendaklah berada dalam kedudukan seimbang.

7. Bola yang diterima berada di atas pinggang perlu ditangkap dengan tangan terbuka dan jari-jari menunjuk ke atas dengan ibu jari membentuk W di belakang bola. Untuk bola yang berada di bawah pinggang, tangan diterbalikkan dan bola disentuh hanya pada jari. Untuk menangkap bola terlalu rendah, satu kaki dikeluarkan ke depan, lalu lutut membengkok dan tangan terbalik. Pemain perlu berupaya menangkap pelbagai hantaran seperti hantaran tinggi, hantaran rendah dan hantaran sisi sama ada dalam kedudukan bergerak atau statik. 

CARA MENANGKAP BOLA


1. Dengan kedua-dua belah tangan – bola aras muka Apabila hendak menangkap bola setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan untuk menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah dibawa dekat badan untuk kawalan yang lebih baik.


2. Dengan kedua-dua belah tangan – bola rendah Untuk menangkap bola rendah pemain perlu merendahkan badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk menerima bola yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa menangkap bola.

 3. Menangkap bola dengan sebelah tangan Cara ini hanya dapat dilakukan dalam situasi apabila penerima bola tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak lawan semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola sehingga dapat ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak tangan yang menangkap bola hendaklah berada di belakang bola.


4. Menangkap bola tinggi Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap bola hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah lompatan hendaklah dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua belah tangan dihulur ke atas untuk menangkap bola. Sebaik sahaja mendarat, bola hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat mengawalnya dengan lebih kemas.

KESALAHAN-KESALAHAN MENANGKAP BOLA

1. Memegang bola menggunakan jari dan tidak menggunakan tapak tangan.
2. Tangan yang dihulurkan ke depan berada terlalu rendah dan tidak pula berada terlalu jauh di belakang.
3. Tidak menggunakan pergelangan tangan.
4. Genggaman yang tidak kemas.
5. Tangkapan yang salah dan tidak mengikut situasi permainan.

MEMEGANG BOLA

Selepas menangkap bola, pemain dibenarkan memegangnya tidak lebih daripada 3 saat sebelum menghantarnya kepada rakan atau terus membuat jaringan gol. Dalam masa yang singkat ini, pemain menguasai bola sepenuhnya. Pemain perlu memegang bola dengan kedua-dua belah tangannya kerana jika sebelah tangan digunakan, kemungkinan bola terlepas daripada pegangannya. Apabila bola dirapatkan ke dada, ia dipegang erat oleh jari-jari yang dibuka dan mengarah ke depan. Pegangan yang kukuh ini adalah penting bagi membolehkan pemain melakukan gerakan yang seterusnya.

Umumnya, memegang bola hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan dan berkedudukan pada aras dada. Pegangan ini hendaklah sekejap mungkin agar tidak mengganggu pergerakan bola serta memberikan masa dan kesempatan kepada pemain pertahanan pasukan lawan mengatur pertahanannya atau mematah serangan.

No comments:

Post a Comment

Peralatan permainan bola tampar Bola tampar biasanya dimainkan di gelanggang tertutup seperti gimnasium. Walaubagaimanapun bola tampar d...